KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak pelarian melahirkan rasa kesal dengan kewujudan petisyen ‘Remove Rohingya from Malaysia’ yang menggesa komuniti Rohingya diusir dari negara ini.
Menurut NGO dikenali sebagai Rohingya Human Rights Initiative (ROHringya), ramai pihak mungkin tidak memahami implikasi sebenar tuntutan supaya pelarian Rohingya dikeluarkan dari Malaysia.
Mereka menjelaskan bahawa kebanyakan Rohingya tidak boleh kembali ke Myanmar kerana keadaan di negeri Rakhine masih tidak selamat, selain pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap penindasan dan keganasan terhadap etnik tersebut masih mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan.
“Pengusiran bukan bermaksud mereka pulang ke rumah. Tiada rumah yang boleh mereka kembali. Ramai daripada mereka melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan,” kata NGO itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Menurut mereka, sekiranya pelarian Rohingya dipindahkan keluar dari Malaysia, kemungkinan besar mereka akan dihantar ke kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh yang kini menampung lebih sejuta pelarian dan berdepan kekangan kapasiti.
Selain itu, mereka mendakwa sebahagian daripada pelarian berkenaan mungkin ditempatkan di pusat tahanan imigresen atau berisiko dihantar semula melalui laluan laut.
NGO tersebut turut mendakwa tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin dan migran di Malaysia sudah pun dipertingkatkan sejak tahun lalu.
Mereka merujuk kepada kenyataan pihak berkuasa bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan pada 2026 selepas puluhan ribu migran ditahan sepanjang tahun 2025.
Sehubungan itu, NGO berkenaan menyeru masyarakat supaya melihat isu Rohingya dari sudut kemanusiaan serta memahami cabaran yang dihadapi golongan pelarian sebelum membuat sebarang tuntutan berkaitan pengusiran mereka.
“Perbincangan mengenai Rohingya perlu berasaskan fakta dan nilai kemanusiaan, bukan sekadar sentimen atau persepsi,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rohingya Human Rights Initiative – ROHringya


