KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu meminta rakyat menerima hakikat bahawa tiada kerajaan yang sempurna.
Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, apa yang penting adalah hala tuju negara kerana masih banyak cabaran perlu diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ujar beliau, antara cabaran khususnya melibatkan kos sara hidup, gaji yang lebih baik, produktiviti dan kesejahteraan rakyat.
“Namun selepas bertahun-tahun negara berdepan ketidaktentuan politik, apa yang sedang berlaku hari ini menunjukkan usaha membina semula ekonomi, memperkukuh institusi dan memulihkan keyakinan pelabur sedang berada di landasan yang betul.
“Reformasi bukan kerja sehari. Hasilnya juga bukan semuanya dapat dituai dalam satu penggal,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Aiman Athirah berkata, jika momentum itu dapat dikekalkan, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, berdaya saing, berintegriti dan lebih sejahtera.
“Persoalannya bukan sama ada semua masalah telah selesai. Persoalannya ialah sama ada negara sedang bergerak ke arah yang betul.
“Alhamdulillah, banyak petunjuk hari ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang melangkah ke hadapan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Aiman Athirah Sabu


