JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menawarkan jawatan badan berkanun kepada bekas ADUN Skudai, Marina Ibrahim, bukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, terdapat perbezaan antara badan berkanun dan GLC.
“Sefaham saya apa yang dijelaskan oleh Pengerusi DAP Johor merupakan ‘badan berkanun’. Bukan GLC. Ada beza antara badan berkanun dan GLC.
“Cadangan Nie Ching kepada Marina akan membuka kemungkinan ruang untuk beliau memainkan peranan membantu )erajaan melaksanakan dasar-dasar untuk kepentingan awam.
“Cadangan ini tentunya harus ambil kira trek rekod dan kemampuan yang dipamerkan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Sheikh Umar berkata, badan berkanun ditubuhkan melalui Akta Parlimen atau Enakmen Negeri bagi melaksanakan dasar awam serta mencapai objektif sosioekonomi tertentu.
Menurut beliau, GLC merupakan syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 dan kerajaan bertindak sebagai pemegang saham utama.
Katanya, dalam pentadbiran hari ini, terdapat contoh sosok yang dilihat memimpin institusi awam dengan baik seperti Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Beliau rajin sehinggal terkenal dengan jolokan ‘Daddy MARA’. Beliau terserlah dengan pelbagai inisiatif memperkukuh pendidikan serta pembangunan usahawan bumiputera,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali


