KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak mempunyai kaitan dengan cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti awam.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendakwa, KPT malah tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.
Menurut beliau, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan kepada Pembela bahawa kementerian itu akan mengekalkan sistem sedia ada.
“Kegusaran yang dibangkitkan baru-baru ini bukan hasil kertas kerja KPT. KPT tiada kaitan dengannya dan tidak setuju dengan pengiktirafan UEC sebagai kemasukan ke universiti awam,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Semalam, delegasi Pembela mengadakan pertemuan dengan Zambry bagi mengemukakan beberapa isu berkaitan pendidikan termasuk pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)
Terdahulu, Zainul Rijal berkata, hasil perjumpaan yang diadakan semalam memberi gambaran positif bahawa saluran dialog antara pihak berkepentingan dan kerajaan masih terbuka serta pandangan masyarakat terus diberi perhatian.
Bagaimanapun, katanya, perkara lebih penting selepas sesi dialog itu adalah pelaksanaan dan tindakan susulan yang konkrit daripada pihak kerajaan.
“Rakyat tentunya berharap agar segala pandangan dan kebimbangan yang disuarakan tidak sekadar dicatat, tetapi diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan yang benar-benar mampu memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi negara secara adil, seimbang dan berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dakwaan berlaku unsur ‘pengkhianat bangsa’ dalam KPT oleh sesetengah pihak adalah tidak berbangkit.
“Isu pengkhianat bangsa seperti didakwa sesetengah pihak tidak timbul di KPT. Mungkin kementerian lain atau PMX harus menjelaskannya. Saya kenal YB Menteri KPT, saya tahu pendirian beliau dalam isu-isu Melayu,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zainul Rijal Abu Bakar


