KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengingatkan dirinya dan semua pemimpin politik supaya menjaga adab dan pertuturan ketika suhu politik semakin memanas.
Beliau mengulas gelaran ‘budak-budak’ yang dipercayai ditujukan kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor baru-baru ini.
Menurut Onn Hafiz, meskipun beliau tidak pasti individu yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, namun menegaskan budaya politik di Johor perlu terus dipelihara dengan penuh tertib dan keharmonian.
“Dari segi dia ‘refer’ siapa budak-budak tu, saya tak tahulah. Tapi saya secara peribadi nak ingatkan diri saya dan juga pemimpin politik terutama di Johor supaya dalam suhu politik yang semakin meningkat, kita kena jaga adab kita.
“Kita kena jaga pertuturan kerana akhirnya orang Johor saya rasa tak macam itu. Ada had bila melibatkan politik. Tak perlu nak marah orang dan tak payah bergaduh secara besar-besaran begitu,” katanya menerusi satu siaran podcast.
Beliau turut berharap semua parti politik memainkan peranan dalam memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat Johor terus terpelihara.
Menurutnya, Bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli mempunyai budaya tersendiri yang lebih mementingkan perpaduan.
“Saya risau dekat Johor ini kita nak jaga perpaduan. Saya cakap tentang Bangsa Johor dan saya yakin orang Melayu, orang Cina, orang India serta Orang Asli di Johor tidak akan terikut-ikut dengan budaya politik melampau.
“Saya tak cakap negeri lain tak baik, tapi Johor ada cara kita sendiri,” katanya lagi.
Mengulas isu pihak tertentu mahu mengambil kredit terhadap sesuatu usaha atau pencapaian di Johor, Onn Hafiz menegaskan beliau tidak kisah selagi rakyat mendapat manfaat.
“Siapa pun nak ‘claim credit’, secara peribadi saya tak kisah sebab akhirnya yang dapat manfaat adalah rakyat.
“Anda mahu mengambil semua kredit, silakan. Bagi saya 4 juta Bangsa Johor mendapat manfaat daripada usaha itu. Itu yang paling penting,” katanya. – MYNEWSHUB


