KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa kecewa apabila masih terdapat pihak yang mempertikaikan fungsi dan peranan Mara dalam membantu masyarakat Bumiputera seperti yang termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pihak berkenaan beberapa kali memperlekehkan serta menafikan peranan Mara, termasuk memandang rendah usaha agensi itu untuk memprofesionalkan golongan huffaz menerusi pelbagai program pendidikan dan latihan kemahiran.
“Mulanya saya malas je nak jawab. Tapi sudah beberapa kali beliau memperlekehkan dan menafikan peranan Mara. Minta maaf, selagi saya diberikan amanah sebagai Pengerusi Mara, hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak akan tetap dipertahankan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau turut memuat naik tangkap layar komen seorang pengguna media sosial yang mempersoalkan keperluan keistimewaan khas Bumiputera dengan bertanyakan: “Jika Mara begitu berjaya, kenapa kita masih perlukan keistimewaan khas?”
Menjawab persoalan itu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa kejayaan dicapai Mara tidak bermaksud jurang struktur dalam masyarakat sudah hilang sepenuhnya.
“Kerana kejayaan Mara tidak bermakna jurang struktur telah hilang. Beberapa program atau individu yang berjaya tidak menghapuskan puluhan tahun titik permulaan yang tidak seimbang, perbezaan kekayaan warisan, rangkaian perniagaan, akses bandar atau kelebihan pendidikan.
“Keistimewaan khas tidak pernah bertujuan membuktikan orang Melayu tidak mampu bersaing, ia diwujudkan untuk mempercepatkan penyertaan supaya persaingan menjadi benar-benar seimbang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa banyak negara di dunia masih meneruskan dasar subsidi, tindakan afirmatif dan perlindungan strategik bagi membantu kumpulan atau industri yang sedang membangun.
“Persoalan sebenar bukanlah sama ada segelintir Bumiputera telah berjaya, tetapi sama ada jurang sosioekonomi keseluruhan telah cukup rapat untuk sokongan itu ditarik balik tanpa menjejaskan kemajuan yang telah dicapai,” katanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


