KUALA LUMPUR – Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mengulas isu syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi pusat tuisyen dengan memetik ungkapan “day light robbery” (rompakan di siang hari) yang didakwa digunakan seorang pempengaruh terkenal.
Pempengaruh tersebut mengulas laporan mengenai desakan sebuah pertubuhan perniagaan Melayu supaya kerajaan memberikan penjelasan selepas syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi pusat tuisyen swasta digugurkan.
Ronnie Liu mendakwa, tindakan menyokong polisi sedemikian hanya memberikan nama buruk kepada organisasi terbabit.
“Dia memberikan nama buruk kepada organisasinya. Menyokong dasar ‘day light robbery’. Itu adalah perkataan yang digunakan oleh pempengaruh terkenal, Sam,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ronnie Liu turut mempersoalkan pendirian berkenaan dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
“What nonsense is this,” tulisnya.
Pada masa sama, Ronnie berpandangan pihak berkenaan sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu kewangan dan ekonomi sebenar yang sedang dihadapi komuniti perniagaan.
“Dia sepatutnya bercakap mengenai isu kewangan dan ekonomi sebenar yang dihadapi komuniti perniagaan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ronnie Liu Tian Khiew



