KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kepimpinan tertinggi dan pengurusan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak meremehkan peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) susulan perintah penggantungan semua kegiatan gabungan itu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kepimpinan PN juga tidak seharusnya melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap ROS semata-mata untuk meraih simpati politik atau menutup kegagalan kepimpinan gabungan berkenaan.
“Saya menggesa kepimpinan tertinggi dan pihak pengurusan PN tidak meremehkan peranan ROS dengan melemparkan tohmahan jahat yang tidak berasas untuk meraih simpati politik dan menutup kegagalan kepimpinan PN yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, ROS telah berulang kali memberikan peringatan secara bertulis kepada PN supaya segala aktiviti pertubuhan dijalankan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PN.
Beliau berkata, Bersatu membuat aduan bertulis kepada ROS pada 11 Ogos berhubung dakwaan pelanggaran Perlembagaan PN oleh kepimpinan baharu gabungan tersebut.
Antara perkara dibangkitkan ialah dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Bersatu turut mengemukakan aduan mengenai dakwaan kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi PN, termasuk tindakan individu yang bukan pemegang jawatan dalam majlis berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan tekanan untuk melucutkan atau menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota.
Mohamed Azmin berkata, beliau hadir mewakili Bersatu untuk memberikan keterangan kepada ROS pada 18 Ogos lalu di Putrajaya dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat berhubung asas aduan berkenaan. – MYNEWSHUB


