JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengisytiharkan 25 Mei ini sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi negeri Johor sempena kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul Piala Malaysia 2025/26.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan Johor bersetuju untuk Hari Cuti Peristiwa pada Isnin ini atas perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Sesungguhnya, kemenangan ini adalah hadiah buat seluruh Bangsa Johor dan para penyokong JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan, dalam suka dan duka, di setiap perlawanan, di setiap musim,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata, beliau bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada JDT menjuarai Piala Malaysia 2025/26 selepas menewaskan Kuching City FC dengan kemenangan 2-0.
Menurutnya, beliau menjunjung kasih ke atas Tunku Mahkota Ismail atas kepimpinan, komitmen dan usaha berterusan baginda dalam memartabatkan bola sepak Johor.
Menurut beliau, hasil usaha Tunku Mahkota Ismail sehingga JDT terus menjadi kebanggaan bukan sahaja di peringkat negara, malah di persada dunia.
Terima kasih juga kepada barisan pemain, jurulatih, pengurusan pasukan dan seluruh keluarga besar JDT atas kejayaan yang cukup membanggakan ini,” katanya. – MYNEWSHUB


