JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa telefon pintar yang dikaitkan dengan akaun peribadinya menjadi sasaran cubaan serangan perisian pengintip atau ‘mercenary spyware’.
Menurut beliau, notifikasi amaran itu diterima terus daripada pihak Apple yang memaklumkan mengenai kemungkinan cubaan pengintipan terhadap perantinya.
“Saya baru menerima notifikasi amaran daripada pihak Apple berhubung cubaan serangan perisian pengintip atau mercenary spyware terhadap telefon pintar yang dikaitkan dengan akaun peribadi saya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Onn Hafiz berkata, beliau memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi serta hak privasi individu.
Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan tidak bertanggungjawab.
“Perkara ini melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi serta cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang,” katanya.
Susulan itu, beliau memaklumkan akan membuat laporan polis selain mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Beliau berharap tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut lunas undang-undang terhadap pihak yang terlibat sekiranya wujud unsur pencerobohan digital.
“Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan serta hak peribadi individu,” katanya. – MYNEWSHUB


