HIMPUNAN Daulat Tuanku semalam ada yang melaporkan sekitar 3,000 peserta, manakala ada yang menyebut 5,000 orang.
Tidak mustahil juga jumlah sebenar jauh lebih besar. Sebahagian laporan memilih sisi ideologi masing-masing.
Pihak yang diketahui cenderung kepada kelompok cauvinis tentunya akan memilih angka paling kecil.
Namun dalam isu seperti ini, fokus sebenar bukannya jumlah. Fokusnya ialah mesej yang dibawa oleh rakyat.
Walaupun hanya 100 orang, ia tetap himpunan yang bertemakan mempertahankan institusi diraja.
Ia himpunan yang rakyat turun kerana merasakan ada batas adab sudah mula dilanggar secara terbuka.
Apa yang berlaku semalam sebenarnya memberi isyarat jelas bahawa rakyat masih mempunyai garis merah.
Mereka mungkin berbeza parti politik, latar belakang dan berbeza pandangan dalam banyak isu.
Namun, apabila institusi diraja disentuh secara keterlaluan, ramai bersedia berdiri mempertahankannya.
Himpunan itu juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat terhadap penghinaan kepada institusi diraja adalah nyata.
Ia suara yang lahir daripada rasa hormat dan kefahaman bahawa demokrasi tanpa adab akan melahirkan masyarakat yang hilang arah.
Dalam ghairah menjadi moden dan liberal, jangan sampai ada yang terlupa bahawa sesebuah negara bukan hanya berdiri atas undang-undang dan politik semata-mata.
Sebaliknya, ia juga berdiri atas maruah dan rasa hormat antara rakyat dengan institusi yang menaunginya. – MYNEWSHUB


