SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya terus bersyukur dengan kemampuan kerajaan mengawal impak krisis global serta memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil.
Menurut beliau, sehingga hari ini Malaysia masih belum perlu melaksanakan catuan bahan api sehingga rakyat terpaksa beratur panjang di stesen minyak seperti yang berlaku di beberapa negara lain.
“Soal pengangguran, soal harga barang, soal Selat Hormuz yang kita mampu kawal, kita kawal. Di antara negara yang mencatat kejayaan yang amat membanggakan.
“Ekonomi lebih terkawal. Kita harus bersyukur. Bukan maknanya tak boleh bantah, tak boleh tegur. Kita syukur kerana ini salah satu negara yang bekalannya ada.
“Belum perlu ada catuan, belum perlu berbaris, belum perlu dilarang penggunaan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2026 di Sendayan, hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa pimpinan Petronas baru-baru ini berkunjung ke Turkmenistan bagi mencari peluang mendapatkan telaga minyak dan gas baharu.
Menurut beliau, Malaysia menerima layanan serta perhatian baik daripada negara luar kerana reputasi dan kedudukan negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Berapa banyak negara yang boleh datang dan memperkenalkan diri sebagai Malaysia lalu terus diberikan perhatian dan keutamaan.
“Alhamdulillah, Malaysia kini berada pada tahap di mana banyak negara memberi penghormatan kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta golongan muda supaya berfikir secara matang dan membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi negara.
Katanya, kestabilan bekalan negara ketika ini adalah hasil pengurusan baik Petronas, dasar ekonomi yang teratur serta kecekapan pentadbiran kerajaan.
“Sebab itu saya memerlukan kerjasama rakyat dan anak-anak muda yang boleh berfikir dengan tenang serta memberi jalan keluar bagi menyelesaikan masalah,” katanya. – MYNEWSHUB


