KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendesak Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi menarik balik kenyataan yang didakwa mengelirukan berhubung kedudukan pelajar tahfiz ke ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA)
Naib Pengerusi (Normalisasi dan Doktrinisasi) Pembela, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi turut didesak membuat permohonan maaf secara terbuka dibuat kepada seluruh warga institusi tahfiz, sekolah agama dan masyarakat Islam.
“Kenyataan tersebut secara nyata telah melakarkan persepsi seolah-olah institusi tahfiz dan pelajarnya selama ini tidak mempunyai laluan pendidikan yang tersusun ke IPTA, lalu keadaan itu dijadikan alasan untuk mewajarkan peluasan pengiktirafan terhadap mereka dan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana berada di luar kerangka pendidikan kebangsaan.
“Pembela menegaskan bahawa lakaran tersebut bukan sahaja tidak tepat, bahkan mengelirukan, merendahkan usaha institusi tahfiz serta menafikan realiti sebenar pembangunan pendidikan Islam di negara ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Mohd Nor Izzat menegaskan, institusi tahfiz telah lama telah melakukan penyesuaian dan integrasi dengan sistem pendidikan nasional melalui pelaksanaan program intervensi SPM bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Agama Islam Negeri serta pelbagai institusi pendidikan berdaftar.
Kata beliau, sejak tahun 2023, pelbagai program akademik dan intervensi peperiksaan telah dilaksanakan secara sistematik bagi memastikan pelajar tahfiz memenuhi syarat kemasukan ke IPTA melalui laluan kredit minima SPM sebagaimana pelajar lain dalam sistem pendidikan arus perdana.
“Sekolah tahfiz dan aliran agama semakin menyerlah sebagai antara penyumbang utama kebitaraan peperiksaan nasional. Tidak hairanlah kini lulusan tahfiz ramai yang menyambung pengajian di dalam bidang agama dan bukan agama seperti perubatan, undang-undang, teknologi maklumat, kejuruteraan dan banyak lagi,” katanya.
Justeru, katanya, adalah tidak bertanggungjawab untuk menggambarkan institusi tahfiz seolah-olah berada di luar sistem pendidikan nasional sedangkan institusi tersebut telah lama berusaha menyesuaikan diri dengan dasar pendidikan negara dan memenuhi syarat kredit minima ditetapkan kerajaan.
“Pembela juga menegaskan bahawa institusi tahfiz tidak boleh dijadikan ‘perisai retorik’ atau ‘alat justifikasi’ bagi mengabsahkan kemasukan sistem pendidikan yang sejak awal tidak diasaskan atas falsafah, kurikulum dan kerangka pendidikan kebangsaan.
“Perbandingan antara tahfiz dan UEC adalah seperti membandingkan epal dan oren. Institusi tahfiz menerima kerangka pendidikan negara, melaksanakan integrasi akademik, menduduki SPM dan mengiktiraf kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Sebaliknya, sistem UEC beroperasi di luar sistem pendidikan arus perdana dan tidak dibina atas kerangka kurikulum nasional,” tegas beliau.
Sehubungan itu, katanya, sebarang usaha membuka laluan lebih luas kepada UEC ke IPTA tidak boleh dilakukan melalui naratif yang memperkecilkan institusi tahfiz dan pendidikan agama.
“Kementerian Pendidikan Tinggi sepatutnya berlaku jujur kepada rakyat dengan menyatakan bahawa isu UEC adalah persoalan dasar nasional yang tersendiri dan bukannya berselindung di sebalik institusi tahfiz untuk meraih legitimasi awam.
“Kementerian Pendidikan Tinggi mesti memberi jaminan bahawa SPM, Bahasa Melayu dan sistem pendidikan kebangsaan akan terus kekal sebagai syarat asas kemasukan ke IPTA;
“Sebarang perubahan dasar berkaitan pengiktirafan UEC dibahaskan secara telus di peringkat nasional tanpa memanipulasi kedudukan institusi tahfiz,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA


