KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain mendakwa isu kemasukan lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak seharusnya disempitkan kepada UEC semata-mata, sebaliknya turut perlu melihat kepada sekolah tahfiz.
Dakwa beliau, pelajar tahfiz yang tidak mengikuti aliran pendidikan formal turut berdepan kesukaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam.
“Jangan sempitkan hanya untuk UEC. Kita kena lihat juga sekolah tahfiz yang tidak mendapat aliran seperti pendidikan formal. Anak-anak Melayu Islam ini juga dinafikan hak untuk masuk universiti (awam)
“Jadi macam mana mereka hendak masuk ke universiti? Yang pertama kena ambil Bahasa Melayu, yang kedua ambil Sejarah. Dia tidak boleh bercampur dengan pendidikan (bidang pengajian) yang lain, yang sama dengan yang ambil SPM atau mengikut sekolah formal.
“Pendidikan (bidang pengajian) itu ditentukan, dikhaskan atas jurusan-jurusan tertentu sahaja,” dakwanya menerusi rakaman video di muat naik di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Wan Mahussin turut menafikan tanggapan bahawa kerajaan hari ini telah mengiktiraf UEC secara rasmi atau UMNO tunduk kepada DAP dalam isu berkenaan.
Kata beliau, kemasukan lepasan UEC ke IPTA masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan kerajaan iaitu keperluan mengambil subjek
Bahasa Melayu dan Sejarah.
“UEC kita bantah 100 peratus sekiranya mereka tidak ikut syarat yang ditetapkan kerajaan. Apa syaratnya? Yang pertama Bahasa Melayu, yang kedua Sejarah.
“Ini juga ketetapan daripada Barisan Nasional (BN) dan manifesto BN untuk mengiktiraf lepasan UEC sekiranya mereka mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah untuk masuk universiti,” katanya.
Justeru, kata beliau, hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan pendidikan tidak seharusnya dinafikan sekiranya mereka memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Jika kita dah ikut peraturan, apa lagi yang hendak ditolak? Jangan nafikan rakyat Malaysia untuk mendapat pendidikan sekiranya mereka ikut peraturan yang ditetapkan.
“Kena faham, kerajaan tidak mengiktiraf UEC secara keseluruhan, tetapi lepasan UEC perlu ikut syarat yang ditetapkan kerajaan untuk masuk universiti,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Wan Mahussin Official


