KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa bangga dengan semangat juang dipamerkan pemainnya ketika menentang Buriram United di Thailand malam tadi.
Baginda malah bertitah Harimau Selatan akan kembali lebih kuat tahun hadapan meskipun skuad Harimau Selatan itu gagal melangkah ke pentas final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
“Syabas pemain-pemain. Bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan. Kita akan kembali lebih kuat tahun hadapan. Kami sentiasa melakukannya,” titah baginda menerusi hantaran di Instagram.
Dalam aksi malam tadi, JDT berjaya menewaskan Buriram United 2-1, namun kemenangan itu tidak cukup untuk melayakkan Harimau Selatan ke final ACC Shopee Cup 2025/26.
Buriram United sebaliknya mara ke pusingan akhir secara agregat 4-3 selepas terlebih dahulu mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 7 Mei lalu.
Gol JDT pada perlawanan di Thailand malam tadi dijaringkan oleh Bergson da Silva dan Marcos Guilherme, manakala gol tunggal Buriram United dijaringkan Kingsley Schindler.
JDT namun mempamerkan aksi penuh bertenaga dan semangat di gelanggang lawan sehingga memaksa Buriram United bekerja keras sepanjang perlawanan. – MYNEWSHUB


