JOHOR BAHRU – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menyeru pihak yang mengkritik pasukan itu agar bersyukur dan menghargai pencapaian luar biasa Harimau Selatan walaupun berdepan pelbagai cabaran musim ini.
Baginda bertitah, JDT tetap berjaya melakar sejarah meskipun dilanda krisis termasuk kecederaan pemain utama, Arif Aiman Hanapi serta penggantungan tiga pemain pasukan.
“Tahun ini kita dilanda krisis. Best player.kita
Arif Aiman injured, tiga pemain kita digantung. Walaupun dilanda krisis, pasukan kita berjaya juara liga tanpa kalah,” titah baginda menerusi satu kenyataan di media sosial.
Baginda turut menyenaraikan beberapa kejayaan besar JDT sepanjang musim ini termasuk muncul juara Liga Super tanpa kalah, merekodkan jumlah jaringan tertinggi dalam sejarah liga, menjuarai Piala FA serta mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) sebagai lapan pasukan terbaik Asia.
Selain itu, JDT turut mara ke final Piala Malaysia dan separuh akhir Piala Shopee, selain menyamai rekod dunia kemenangan terbanyak tanpa kalah dalam liga.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, semua kejayaan itu malah dicapai ketika JDT berada dalam fasa peralihan dengan kehadiran pemain-pemain baharu serta pembentukan pasukan yang masih dalam proses penyesuaian.
“Ingat bahawa kami berjaya capai semua target ini dengan pasukan yang baru, pemain yang baru dan ‘transition team’ ketika sedang dilanda krisis,” titah baginda.
Baginda dalam masa sama menasihatkan mereka agar tidak terlalu cepat menuding jari atau membuat penilaian mengikut emosi semata-mata selepas kekalahan pasukan.
“Jadi bersyukur dengan pencapaian luar biasa ini.Jangan asyik senang tunding jari ikut emosi tanpa fikir menggunakan otak.
“Kecewa dengan kekalahan ok, kalah menang itu adat, tetapi jangan terlepas pandang gambaran yang lebih besar iaitu pencapaian yang hebat ini,” titah baginda lagi.
Mengakhiri kenyataan itu, baginda menegaskan semangat dan identiti JDT sebagai sebuah gerakan yang lebih besar daripada sekadar sebuah pasukan bola sepak.
“JDT selamanya. JDT, kami bukan satu pasukan, kami adalah sebuah empayar, kami adalah gerakan. Allah berkati Johor dan keluarga besar JDT,” titah Tunku Mahkota Ismail. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial HRH Crown Prince of Johor


