Oleh Mynewshub
LUMUT – Sebuah bot dipercayai membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dilaporkan tenggelam di perairan Pulau Pangkor awal pagi semalam, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) berskala besar melibatkan pelbagai agensi keselamatan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemui mangsa terapung di laut sebelum meminta bantuan segera.
Susulan itu, operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 6 pagi dengan aset Maritim Malaysia termasuk KM Gagah dan Benteng 1203 digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta komuniti nelayan tempatan bagi memperluaskan kawasan pencarian.
Dalam operasi tersebut, sebuah vesel nelayan tempatan berjaya menyelamatkan seramai 23 warga Indonesia terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita sebelum mereka diiringi Bot PPM PAC 16 ke Jeti PPM Kampung Acheh untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati seramai 37 individu dipercayai berada di atas bot berkenaan ketika kejadian berlaku.
“Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala baki mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi SAR sedang diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, pihak operasi turut menemui tiga buah beg mengandungi pakaian yang dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian untuk proses pengecaman.
Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di IPD Manjung bagi tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati kumpulan PATI itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu sebelum menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.
Operasi pencarian turut melibatkan pelbagai aset udara dan laut termasuk KD Sri Indera Sakti, helikopter Fennec TLDM, dua Fast Combat Boat (FCB) TLDM, pesawat Bombardier CL-415 milik Maritim Malaysia serta Bot PAC 16 milik PPM.
Setakat ini, tiada penemuan baharu dilaporkan dan operasi SAR masih diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999.- MYNEWSHUB


