KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menafikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) mempunyai kaitan dengan isu rumah ibadat tidak berdaftar mahupun Suruhanjaya Antara Agama (IFC).
KPN dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa sebarang cadangan berkaitan SKN tidak akan menyentuh, mempertikai atau mengubah perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kementerian itu, antara perkara yang kekal dipelihara adalah kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, selain Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Perkara-perkara ini merupakan asas utama pembentukan negara dan kekal dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan, sesi libat urus yang diadakan bukan platform untuk membuat keputusan muktamad, sebaliknya menjadi ruang rasmi bagi mendapatkan pandangan, cadangan, kebimbangan serta maklum balas secara berhemah dan tersusun sebelum sebarang pertimbangan lanjut dikemukakan kepada kerajaan.
“Semua pandangan yang diterima akan direkod, diteliti dan diperhalusi secara objektif serta profesional,” katanya.
Menurut KPN, pelaksanaan sesi libat urus itu akan dijalankan secara bersiri dan berfasa melibatkan pelbagai kumpulan pemegang taruh. – MYNEWSHUB


