KUALA LUMPUR – Satu kenyataan media didakwa oleh Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebar di media sosial.
Kenyataan media itu mendakwa majoriti ahli Majlis Pimpinan Pusat MKM yang menang dalam Pemilihan MPP MKM yang lalu hilang kepercayaan terhadap PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan media tersebut turut dikongsikan oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari di akaun Facebook beliau hari ini.
“Parti yang suatu ketika dahulu membawa semangat reformasi, keberanian melawan penyalahgunaan kuasa dan perjuangan membela suara rakyat kini semakin jauh daripada prinsip perjuangan asal yang pernah diyakini oleh ramai anak muda dan mahasiswa.
“Sehubungan itu, hala tuju baharu MKM akan diumumkan secara rasmi pada 11 Mei 2026 jam 8:30 malam di Restoran Amjal, Kuala Lumpur,” dakwa kenyataan itu.
Sidang media tersebut didakwa akan menyentuh pendirian rasmi MKM serta langkah seterusnya yang akan diambil selepas perkembangan semasa melibatkan PKR dan kepimpinan parti.
Kenyataan itu turut menyeru anak muda dalam PKR hususnya mahasiswa untuk menilai semula pendirian masing-masing dan bermuhasabah dengan jujur tentang hala tuju perjuangan mereka.
“Kesetiaan kepada perjuangan tidak seharusnya mengatasi keberanian untuk mempertahankan prinsip,” dakwa kenyataan itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mahasiswa Keadilan Malaysia/Fadhli Shaari


