ISKANDAR PUTERI – Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya selangkah untuk mencipta sejarah baharu bola sepak dunia selepas berjaya menyamai rekod 108 perlawanan liga tanpa kalah.
Rekod luar biasa itu disahkan selepas Harimau Selatan membelasah Kelantan TRW FC 14-1 pada aksi penutup Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT menyamai rekod dunia milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang sebelum ini mencatat 108 perlawanan liga tanpa tewas.
Lebih menakjubkan, skuad kendalian JDT itu masih belum tewas dalam saingan Liga Super sejak April 2021 sekali gus membuktikan dominasi mutlak mereka dalam bola sepak Malaysia.
Kini, seluruh perhatian peminat bola sepak tanah air terarah kepada aksi pembukaan musim 2026/27 yang dijangka berlangsung Ogos ini, apabila JDT berpeluang memadam rekod ASEC Mimosas dan muncul sebagai kelab dengan rekod tanpa kalah paling panjang dalam sejarah liga bola sepak dunia.
Selain itu, Harimau Selatan turut melengkapkan empat musim liga berturut-turut tanpa kalah serta keseluruhan enam musim tanpa tewas termasuk musim 2016 dan 2020.
Pencapaian tersebut sekali lagi mengukuhkan status JDT sebagai kuasa besar bola sepak Asia Tenggara yang sukar digugat mana-mana pasukan ketika ini.
“Sudah menyamai… kini tinggal mengatasi dan mencipta rekod dunia baharu.” – MYNEWSHUB


