KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial luar negara, Roman Travels meluahkan pandangannya berhubung Festival Muzik Air Rain Rave 2026 dengan menyatakan acara itu tidak menepati keinginannya sepanjang berada di Malaysia.
Menurutnya, beliau mengakui idea serta tujuan penganjuran acara itu adalah baik termasuk usaha menghimpunkan orang ramai, mencipta suasana menyeronokkan, menyokong perniagaan tempatan serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi.
Kata Roman, beliau namun secara peribadi berpandangan festival itu tidak mencerminkan perkara yang beliau hargai tentang Malaysia selepas menetap selama sembilan bulan di negara ini.
“Bagi saya secara peribadi, saya tidak merasakan bahawa ia menampilkan apa yang saya cintai dan hargai tentang Malaysia selepas tinggal di sini selama sembilan bulan.
“Saya telah pergi ke sambutan Hari Merdeka, Sarong Festival, Deepavali, Tahun Baru Cina, Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri dan itu adalah jenis pengalaman yang saya benar-benar menantikan sekali lagi,” katanya.
Menurutnya, semua acara kebudayaan penuh bertenaga itu yang menjadikan Malaysia sangat unik dan begitu istimewa baginya, manakala acara ‘Rain Rave’ bukan sesuatu yang beliau ingin alami di negara ini.
“Itu hanyalah (pandangan) saya, tetapi ia membuat saya berfikir apa acara yang saya sebagai orang asing ingin hadir untuk mendapatkan pengalaman,” katanya.
Beliau seterusnya melahirkan keseronokan menghadiri acara orang ramai mengenakan pakaian tradisional, di samping dihiburkan dengan muzik moden daripada artis tempatan yang mewakili pelbagai budaya.
Kata beliau, sepanjang hari acara yang pernah dihadirinya itu menumpukan kepada budaya, makanan dan persembahan tradisional, malah masih mengekalkan nilai hormat, tetapi dengan sentuhan tenaga moden.
Tambah beliau, pengunjung juga boleh menikmati muzik daripada artis tempatan, sesuatu yang memberi ruang untuk mereka berhibur dan melepaskan tekanan.
“Ia menjadi ruang pertemuan antara penduduk tempatan dan pelancong untuk bersama-sama merasai keindahan Malaysia yang berteraskan hubungan serta kesatuan budaya.
“Inilah yang menjadikan Malaysia begitu istimewa dan unik. Namun, itu sekadar pandangan saya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Roman Travels


