KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin DAP tampil mempertahankan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing susulan kontroversi penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di ibu negara.
Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong berkata, program tersebut tidak wajar dipolitikkan secara sempit kerana ia merupakan inisiatif pelancongan yang mampu merancakkan ekonomi serta membuka peluang pendapatan kepada peniaga kecil.
Beliau membandingkan sambutan Songkran di Kedah yang melibatkan Exco kerajaan negeri dengan festival air di peringkat Persekutuan dan mempersoalkan mengapa satu diraikan manakala satu lagi dipertikaikan.
“Jika Pesta Songkran di Kedah wajar diteruskan sebagai warisan budaya dan simbol perpaduan, maka festival air di Kuala Lumpur juga wajar diteruskan. Kedua-dua program ini wajar diperbesarkan skalanya sebagai produk pelancongan yang mampu menarik puluhan ribu pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Tambah beliau, tanpa penganjuran acara seumpama itu di dalam negara, rakyat Malaysia akan terus berbelanja di luar negara seperti di Thailand untuk menyertai festival air, sekali gus menyebabkan aliran keluar wang.
Katanya, Malaysia mempunyai keupayaan untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih tersusun, inklusif dan kompetitif di peringkat serantau.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Edmund Lim turut menyuarakan pandangan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dilihat secara sempit.
Beliau memberi contoh destinasi pelancongan seperti Genting Highlands yang mempunyai kasino, namun pengunjung muslim tetap berkunjung tanpa terlibat dalam aktiviti tersebut.
Menurutnya, isu sebenar bukan terletak pada lokasi atau penganjuran program, sebaliknya kepada cara masyarakat menilai dan mengurus perbezaan dalam kehidupan berbilang kaum.
“Yang jadi masalah bukan tempat, tapi mentaliti. Yang ada ‘title’ doktor tu tak semestinya pandai ‘sometime’ jadi bebal juga,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Teh Swee Leong/Edmund Lim


