KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah melahirkan rasa kesal terhadap penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung di ibu negara.
Menurutnya, beliau sendiri hadir di Bukit Bintang malam tadi bagi meninjau keadaan festival tersebut yang disifatkan sebagai pesta maksiat.
“Semalam saya pergi ke pesta muzik air Rain Rave. Tidak mahu sekadar bercakap kosong, saya melihat sendiri. Tukar sahaja nama Bukit Bintang jadi Bukit Binatang.
“Memang memalukan. Rosak habis identiti negara kita yang kononnya negara Madani. Tidak ada satu pun kebaikan, melainkan kemaksiatan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, penganjuran festival berkenaan lebih menjurus kepada hiburan keterlaluan serta unsur hedonisme, sekali gus mencemarkan imej negara yang sering dipromosikan dengan konsep Malaysia Madani.
Beliau turut mempersoalkan kandungan acara yang menurutnya tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat, selain mendakwa suasana festival dipenuhi dengan muzik yang terlalu kuat, tarian bebas serta penggunaan bahasa asing yang lebih dominan berbanding Bahasa Melayu.
Ridhuan Tee juga menyuarakan kebimbangan terhadap pengaruh budaya luar yang dikatakan semakin menular dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, sehingga menghakis identiti tempatan dan nilai keagamaan.
Tambahnya, usaha menarik pelancong tidak seharusnya mengorbankan prinsip serta jati diri negara, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan norma budaya dan sensitiviti agama.
“Muzik menggila seperti kerasukan, DJ seperti orang mabuk. Bahasa Melayu tidak kedengaran sepatah pun. Bahasa Inggeris pula digunakan secara berlebihan.
“Manusia terkinja-kinja berseronok, hedonisme semakin merasuk. Air sepatutnya digunakan untuk berwuduk, bukan untuk tujuan hiburan melampau. Inikah Malaysia? Lebih Barat daripada Barat.
“Hendak menarik pelancong tetapi akhirnya tersasar. Inilah akibatnya apabila golongan tertentu diberi kuasa. Walaupun Islam majoriti, kita gagal mengawasi seolah-olah hidup dalam negara yang lari daripada nilai sebenar. Jangan mengundang kemurkaan Allah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohd Ridhuan Tee Abdullah


