KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mengambil peluang melontarkan pelbagai kritikan dan teguran berhubung keadaan Liga Malaysia.
Baginda menyuarakan perkara itu ketika hadir secara mengejut dalam mesyuarat meja bulat antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding, hari ini.
Bagaimanapun, Pemangku Sultan Johor itu menampilkan sifat terpuji apabila meminta mesyuarat tersebut ditangguhkan seketika bagi menghormati azan.
“Kita setakat suka bercakap sahaja mengenai usaha menambah baik bola sepak. Apa yang kita sudah perbaiki? Ini isu utama.
“Should we stop dulu tunggu orang azan??” titah Baginda yang kemudian dipersetujui semua ahli mesyuarat.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail memuji penganjuran mesyuarat tersebut, namun menegaskan hasil perbincangan perlu disampaikan secara tepat kepada penyokong.
“Kiita kena jelas. Tak boleh sini cakap lain, lepas keluar bilik ini cakap lain kepada penyokong, pihak media dan buat ‘posting-posting’ memainkan naratif bukan-bukan.
“Perlu berterus terang, adakah bola sepak Malaysia berada pada tahap baik? Saya rasa tidak. Kita perlu melihat semula empat masalah utama sejak dahulu,” titah Baginda.
Menurut Baginda, antara isu utama yang perlu diberi perhatian adalah pembangunan pemain muda yang masih lemah, ketiadaan pertandingan remaja yang kompetitif, keperluan badan profesional bagi pengadil, penajaan serta disiplin dalam pengurusan kewangan kelab.
“Ada RM12 bukan belanja RM15, tapi bila ada isu kewangan semua pihak mula buat benda tak bertanggungjawab salahkan FAM, MFL,” titah Baginda.
Selain itu, Baginda turut membangkitkan isu infrastruktur bola sepak yang masih ketinggalan, termasuk aspek penyelenggaraan padang.
“Tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia bantu dari segi kewangan untuk meningkatkan kualiti padang, termasuk sistem saliran dan penukaran rumput…Soalan saya kenapa tiada pasukan yang sambut?
“Setahu saya negara jiran sudah sibuk berusaha bergerak dengan cepat ‘upgrade’ fasiliti bola,” titah Baginda lagi. – MYNEWSHUB


