JOHOR BAHRU – Seramai 3,526 penerima telah menerima manfaat di bawah Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 1 dan Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM14.9 juta.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, menerusi majlis penyerahan bagi Fasa 2, seramai 2,506 penerima telah menerima manfaat PKJ dengan hampir RM10.53 juta disalurkan.
“Ia sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat memiliki, memasuki dan menyewa rumah dengan lebih mampu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Onn Hafiz berkata, majlis itu menghimpunkan pelaksanaan tiga inisiatif utama iaitu Bantuan Beli Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah Pertama dan Bantuan Sewa Rumah.
Ujar beliau, ia sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan negeri dalam menangani cabaran kos sara hidup serta memperluas akses kepada kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu milik.
Kata beliau, melalui PKJ, kerajaan negeri menyediakan Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000, Bantuan Masuk Rumah Pertama sebanyak RM2,000, serta Bantuan Sewa Rumah yang ditambah baik syarat kelayakan dan peningkatan bantuan sehingga RM2,500 secara ‘one-off’
“Inisiatif ini terbuka kepada semua Bangsa Johor tanpa mengira kaum, dengan pendekatan inklusif yang memberi peluang lebih luas kepada rakyat memiliki atau menyewa kediaman tanpa beban kewangan yang berlebihan,” katanya.
Tambah beliau, dalam masa yang sama, kerajaan Johor mengambil langkah strategik dengan memperluaskan Bantuan Beli dan Masuk Rumah Pertama kepada golongan M40 khususnya bagi kediaman lot Bumiputera dalam julat harga RM300,000 hingga RM650,000.
Jekas beliau, pendekatan itu memastikan lebih ramai berpeluang memiliki dan mendiami rumah sendiri, di samping mengelakkan unit Bumiputera kekal kosong serta mengekalkan matlamat asal dasar pemilikan hartanah Bumiputera.
“Semoga bantuan ini benar-benar dapat memberi kelegaan kepada rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup, sekali gus membantu lebih ramai Bangsa Johor memiliki kediaman sendiri serta menikmati kehidupan yang lebih stabil dan selesa,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


