KUALA LUMPUR – Sebanyak 163 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran dikenal pasti berada di atas tanah kerajaan berdasarkan pemetaan mengikut kawasan Parlimen oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Kerajaan Madani namun mengambil pendekatan tersusun, berhemah dan adil dalam menangani isu itu dengan mengambil kira keperluan komuniti serta kerangka perundangan sedia ada.
“Mulai hari ini bagi mengelakkan pertambahan kes pencerobohan baharu serta pembesaran struktur sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, sebarang pembinaan atau tambahan tidak akan dibenarkan dan akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
“Segala tindakan akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh hormat dengan mengambil kira sensitiviti komuniti setempat. Saya percaya pendekatan inklusif dan berhemah ini akan memastikan setiap isu dapat diselesaikan dengan baik sambil mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial.
Terdahulu, Hannah memaklumkan, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Wilayah Persekutuan Bil. 1/2026, Selasa lalu bagi membincangkan isu berkaitan RIBI yang melibatkan tanah milik kerajaan.
Menurut beliau, terma rujukan mesyuarat itu telah ditambah baik dengan penglibatan Ahli Parlimen Kuala Lumpur serta badan antara agama iaitu Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) bagi memperkukuh proses perbincangan dan penyelesaian.
Kata beliau, mesyuarat bersetuju menubuhkan 11 Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen di kawasan masing-masing bagi menerajui perbincangan bersama pihak terlibat termasuk MCCBCHST.
Dalam masa yang sama, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperincikan garis panduan berkaitan pengurusan rumah ibadat bukan Islam bagi membantu memastikan pendekatan yang lebih terselaras dan teratur di seluruh negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hannah Yeoh


