KUALA LUMPUR – Mengkritik polisi dan dasar kerajaan walaupun tidak benar dan provokatif, tidak patut dijadikan kesalahan dibawah Akta Hasutan.
Peguam berpengalaman, Datuk Lukman Sheriff Alias mendakwa, ia sebahagian dari kebebasan bersuara yang perlu ada dalam demokrasi.
“Kerajaan pula punyai jentera yang besar untuk mematahkan segala naratif yang tidak dipersetujuinya. Media perdana akan war-warkan segala pandangan kerajaan.
“Jadi dalam zaman ini mengkritik dasar kerajaan tidak patut didakwa dan menjadi kesalahan bawah akta hasutan,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Lukman Sheriff mendakwa, tindakan terhadap pihak yang mengkritik dasar kerajaan membawa kemunduran kepada amalan demokrasi.
Beliau turut mengimbas pendiriannya sebelum ini yang menolak cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan sepenuhnya.
Sebaliknya, beliau mencadangkan undang-undang itu dipinda supaya kesalahan berkaitan kritikan terhadap kerajaan dimansuhkan.
“Seingat saya sejak berdekad tiada yang didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik kerajaan semata-mata.
“Setahu saya Barisan Nasional (BN) tiada masalah untuk yang mengkritik kerajaan sejak zaman Pak Lah, Datuk Seri Najib dan Pakatan Harapan (PH) pula mahu mansuhkan Akta Hasutan.
“Jadi apabila bersama, kenapa pula mengkritik dasar kerajaan jadi kesalahan. Akta hasutan perlu dipinda untuk ini tidak dijadikan kesalahan,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Lukman Sheriff


