JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menegaskan pendekatan politik yang diamalkannya dalam menyelesaikan masalah rakyat melalui diplomasi, rundingan dan hubungan kerja yang baik berbanding konfrontasi politik berterusan.
Menurutnya, dakwaan beliau telah ‘dibeli’ atau bercadang melompat parti susulan pendekatan politik yang dianggap kurang vokal dalam mengkritik kerajaan adalah tidak benar.
“Tidak. Segala keputusan yang saya buat adalah selepas perbincangan dengan mereka yang menjadi tulang belakang saya dan memahami cara kerja saya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Marina berkata, sebagai seorang ahli politik pembangkang, beliau tidak memilih untuk menentang setiap perkara hanya kerana perbezaan politik.
Menurut beliau, kemenangan terbaik adalah kemenangan yang dicapai tanpa perlu ‘bertempur’, sebaliknya berasaskan perbincangan, hormat dan persefahaman.
Justeru, beliau menegaskan sokongan terhadap sesuatu dasar atau keputusan kerajaan tidak bermaksud menyokong membuta tuli, sebaliknya disertai teguran serta cadangan apabila terdapat kelemahan.
Katanya, pendekatan tersebut selari dengan budaya politik Johor yang secara tradisinya lebih menekankan kestabilan, hubungan kerja dan penyelesaian praktikal berbanding politik konfrontasi yang berpanjangan.
Mengulas kritikan terhadap dirinya, Marina berkata beliau tidak kisah sekiranya ada pihak melabelkan dirinya sebagai lemah atau lembik.
“Kau nak cakap aku lemah, lembik… tak kisahlah. Tapi bagi aku, ini bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu bentuk diplomasi strategik yang membolehkan lebih banyak perkara dicapai untuk kawasan aku,” katanya.
Beliau menegaskan matlamat utamanya kekal membantu rakyat, manakala kaedah pelaksanaannya boleh berubah mengikut keadaan dan realiti politik semasa. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Marina Ibrahim


