KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menegaskan tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi semalam.
APAD menerusi satu kenyataan media berkata, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715 terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel.
“APAD telah membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren.
“APAD akan memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh serta segala tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu hari ini.
APAD memaklumkan, pihak pengendali telah diarahkan untuk mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden tersebut secepat mungkin dan laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan.
Jelas APAD, tindakan itu bertujuan mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.
“APAD ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB


