KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mengkritik kenyataan berulang oleh pemimpin tertentu mengenai ‘tidak mengambil gaji’
Dakwa beliau, tindakan mengulangi naratif tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia digunakan untuk mengalih perhatian daripada isu dasar dan keputusan pentadbiran yang lebih penting.
“Tak ambil gaji, nak kebal dari kritik? Kalau benar ikhlas berkhidmat, tak perlu ulang-ulang cerita tak ambil gaji,” sindirnya dalam satu hantaran di media sosial.
Lian Ker mendakwa, rakyat lebih menuntut aspek amanah dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara berbanding simbolik pengorbanan semata-mata.
Beliau malah mempersoalkan beberapa perkara asas berkaitan dasar kerajaan termasuk rasional sesuatu keputusan dibuat, proses kelulusan yang didakwa tanpa penelitian menyeluruh, serta impak sebenar kepada rakyat.
“Kenapa dasar begini dibuat? Siapa untung, siapa rugi? Di mana hasilnya kepada rakyat?” soalnya.
Dakwanya lagi, menjadikan isu tidak mengambil gaji sebagai hujah moral dilihat sebagai taktik emosi yang boleh mengaburkan perbincangan substantif mengenai prestasi kerajaan.
“Yang rakyat tuntut bukan pengorbanan simbolik, tetapi keputusan yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau mendakwa tiga kesan pendekatan tersebut iaitu mengalih perhatian daripada isu sebenar, membina imej pengorbanan, serta meredam kritikan tanpa memberikan jawapan yang jelas dan berfakta.
“Menjadikan ‘tak ambil gaji’ sebagai perisai moral adalah taktik emosi,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Ti Lian Ker


