PUTRAJAYA – Malaysia kini berada di kedudukan ketujuh negara paling dipercayai di dunia berdasarkan laporan 2026 Edelman Trust Barometer.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia membuktikan negara berada di landasan tepat dalam memperkukuh keyakinan terhadap institusi, kestabilan sosial dan perpaduan nasional.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan rakyat serta komuniti antarabangsa terhadap tadbir urus, hala tuju ekonomi dan komitmen Malaysia terhadap pembangunan inklusif.
Menurut kajian global berkenaan, Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat daripada 66 mata pada 2025 kepada 71 mata tahun ini, meletakkan negara antara yang terbaik dunia dari segi kepercayaan awam terhadap kerajaan, perniagaan, media dan institusi bukan kerajaan.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara.
“Ia membuktikan usaha Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus baik, kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial membuahkan hasil positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, Kerajaan Madani akan terus menjunjung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan dasar berteraskan rakyat bagi memastikan kepercayaan kekal menjadi asas kemajuan negara.
“Ketika banyak negara berdepan peningkatan polarisasi dan ketidaktentuan, kedudukan Malaysia sebagai antara negara paling dipercayai dunia menunjukkan kekuatan kita dalam mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian. Pencapaian ini milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Nga turut mengingatkan bahawa laporan tersebut juga menonjolkan cabaran berkaitan perpecahan sosial dan penularan maklumat palsu.
Katanya, dapatan itu perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak untuk terus memupuk persefahaman, keterangkuman serta wacana awam yang bertanggungjawab demi menjaga keharmonian dan kemakmuran jangka panjang negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nga Kor Ming


