KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Petaling Jaya, Lee Chean Chung membantah pengharaman dua buah buku yang mengisahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM)
Menurut beliau, dua buah buku itu berjudul Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
“Sebagai Ahli Parlimen PH saya terkejut bahawa dua buah buku telah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial.
Chean Chung berkata, perspektif akademi meraikan kepelbagaian wacana, bertekad untuk memartabatkan ilmu dan berikhtiar menyuburkan budaya membaca, berbahas serta berfikir.
Katanya, perspektif politik pula perlu mengambil sikap bahawa sejarah harus bersifat inklusif dan bukannya propaganda yang dimonopoli satu-satu pihak yang menang.
“Kita mendukung idea bahawa sumbangan dan pengorbanan semua pihak yang terlibat sepanjang perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air harus diiktiraf.
“Malah, kita sepatutnya lebih matang hari ini untuk memahami politik sebagai persaingan idea.
“Kita tidak harus ditakut-takutkan dengan momokan atau label, sebaliknya kita perlu mengupas secara terperinci intipati jalur-jalur pemikiran yang pelbagai,” katanya.
Beliau berkata, zaman memonopoli kebenaran sudah berlalu dan zaman menakut-nakutkan rakyat dengan mengharamkan buku juga telah berlalu.
Tegas beliau, PH perlu membuktikan bahawa Kerajaan Madani lebih baik berbanding kerajaan-kerajaan lalu, maka pengharaman buku bukan langkah yang wajar.
“Saya selaku Ahli Parlimen Petaling Jaya dengan ini menggesa KDN agar menarik balik pengharaman buku-buku tersebut,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Lee Chean Chung


