KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang paling penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara.
Menurut beliau, hasil daripada pelaburan dalam sektor pendidikan mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat, namun impaknya akan menjadi penentu utama masa depan negara dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.
“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang paling penting. Hasilnya mungkin tidak dapat dilihat segera, tetapi dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang, pelaburan inilah yang akan menentukan masa depan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkata, beliau petang tadi menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung PIBG di Dewan Orang Ramai Rantau.
Menurut beliau, ia melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Kata beliau, majlis itu menjadi ruang untuk menghargai peranan PIBG, guru-guru dan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak terus menjadi keutamaan.
“Turut diraikan pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam seperti STPM, SPM dan UPKK.
“Tahniah diucapkan kepada semua anak-anak Rantau yang telah mengharumkan nama keluarga, sekolah dan daerah,” katanya. – MYNEWSHUB


