KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Yusuf Azmi menyarankan orang ramai agar bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar susulan ketidaktentuan global.
Menurut beliau, dunia kini berdepan pelbagai isu termasuk konflik peperangan, ketegangan geopolitik serta tekanan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.
“Realitinya, ramai yang sudah mula terasa kesan kos hidup meningkat, perniagaan makin mencabar dan masa depan semakin tidak menentu.
“Sebagai rakyat, kita disarankan untuk berjimat dan berwaspada. Itu bukan sekadar nasihat, itu adalah tanda kita sedang menuju ke waktu lebih mencabar,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau yang juga Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysiaqq (Semboyan) berpandangan orang ramai tidak lagi boleh mengambil pendekatan hidup seperti biasa tanpa sebarang persediaan.
Sebaliknya, kata beliau, orang ramai perlu lebih berjimat cermat dan berwaspada dalam mengurus kewangan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan umat Islam tidak hanya membuat persediaan dari segi kewangan dan fizikal, tetapi turut memperkukuh aspek rohani.
“Sebagai umat Islam, persediaan kita bukan hanya pada kewangan dan fizikal. Kembalilah kepada Allah. Perbaiki solat. Dekatkan diri dengan al-Quran.
“Kerana rezeki itu bukan datang dari sistem semata-mata, tetapi dari Allah yang Maha Memberi,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya ujian besar melanda, kekuatan iman akan menjadi benteng utama dalam menghadapi segala kesulitan.
“Jika benar ujian besar sedang menanti, maka imanlah yang akan menjadi benteng paling kuat. Jangan tunggu sampai segalanya hilang baru kita ingin kembali.
“Bersedia. Berjimat. Berdoa.
Semoga kita semua dilindungi dan dipermudahkan dalam apa jua yang mendatang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Yusuf Azmi


