KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) memaklumkan ibu negara mencatatkan kemerosotan kualiti udara dan trend peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sejak beberapa hari lalu.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, JAS WPKL sedang memantau rapi status kualiti udara di sekitar ibu negara susulan perkembangan tersebut.
“Kemerosotan kualiti udara di dalam negara pada hari ini didapati berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
“Situasi ini diburukkan lagi dengan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini menyebabkan zarah terampai seperti habuk dan debu mudah terperangkap di ruang udara ibu kota.
“Berdasarkan rekod cerapan stesen pengawasan kualiti udara (EQMS) JAS pada pukul 6 petang ini, stesen Cheras mencatatkan peningkatan sehingga mencapai tahap Tidak Sihat dengan bacaan IPU 151,” katanya
Sharifah Zakiah berkata, JAS WPKL telah menggerakkan pasukan penguat kuasa untuk mempergiat rondaan harian bagi mencegah aktiviti pembakaran terbuka.
Jelas beliau, ia termasuk di kawasan-kawasan berisiko seperti tapak pelupusan sampah haram, kawasan perindustrian, tapak pembinaan, dan kawasan perumahan.
“JAS WPKL memberi amaran keras tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Boleh juga dikenakan denda tambahan tidak melebihi RM5,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan,” katanya.
JAS WPKL turut menasihatkan orang awam mengambil langkah memelihara tahap kesihatan ternasuk mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka (jenis N95 adalah disyorkan) apabila terpaksa berada di luar, meminum air kosong yang mencukupi dan tidak melakukan pembakaran terbuka. – MYNEWSHUB


