KUALA LUMPUR – Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, gaji sektor swasta di negara ini meningkat 4.2 peratus.
Beliau berkata, peningkatan yang benar-benar dirasai oleh pekerja swasta namun hanya sekitar 2.2 peratus selepas mengambil kira kenaikan harga barang.
“Jadi kalau rakyat masih bertanya, “ekonomi naik, tapi kenapa hidup masih terasa sempit?”, kerajaan kena dengar dan fahami keluhan mereka.
“Begitu juga dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Kalau ekonomi berkembang tetapi peniaga kecil masih bergelut dengan kos dan aliran tunai.
“Kita tak boleh sekadar menunjuk kepada angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan mengatakan semuanya baik. Sememangnya kerja kita belum selesai,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, beliau memaklumkan, ekonomi Malaysia tumbuh 6.0 peratus pada suku kedua tahun ini, lebih tinggi daripada anggaran awal 5.8 peratus dan lebih kukuh berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
Tengku Zafrul seterusnya melontarkan pandangan bahawa kerajaan perlu melihat langkah yang boleh memberi kesan terus kepada poket rakyat.
Kata beliau, jika harga barang keperluan, minyak atau pengangkutan melonjak, bantuan sementara boleh disalurkan secara automatik kepada mereka yang layak tanpa perlu memohon sekali lagi.
Ujar beliau, bagi pemandu e-hailing, kerajaan boleh melihat model insurans mengikut penggunaan dengan platform turut menanggung sebahagian kos.
“Kalau mereka hanya memandu beberapa jam sehari, tak masuk akal kalau kos perlindungannya sama seperti mereka yang memandu sepenuh masa.
“Untuk PKS pula, invois yang telah disahkan oleh kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) patut dibayar dalam tempoh 14 hari. Kalau lewat, perlu ada pampasan.
“PKS tak patut terpaksa berhutang hanya kerana kerajaan atau GLC lambat membayar mereka,” katanya.
Tambah beliau, bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga boleh disesuaikan dengan pendapatan sebenar.
“Kalau pendapatan masih rendah atau seseorang kehilangan pekerjaan, bayaran boleh dikurangkan atau ditangguhkan sehingga mereka kembali mampu membayar,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Tengku Zafrul


