KUALA LUMPUR – Malaysia memainkan peranan sebagai orang tengah apabila menyampaikan mesej negara Teluk kepada Iran dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil berikutan hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua pihak termasuk Iran serta negara-negara Arab.
Menurut beliau, beberapa pemimpin negara Arab telah menghubunginya bagi meminta Malaysia menyampaikan pandangan mereka kepada kepimpinan tertinggi Iran demi mencari jalan damai.
“Dalam perbualan telefon dengan beberapa negara Arab, mereka minta saya sampaikan kepada Presiden Iran kerana mereka tahu hubungan Malaysia dengan Iran agak baik.
“Kita ambil pendekatan positif, kita sampaikan simpati kepada Iran, tetapi juga keprihatinan negara Arab supaya ketegangan ini tidak berlarutan dan ada usaha ke arah perdamaian,” katanya pada Program Madani Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh Perak.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan Malaysia turut berhubung dengan beberapa negara lain termasuk Mesir, Turkiye dan Azerbaijan bagi mendapatkan pandangan serta mencari pendekatan terbaik untuk mengelakkan konflik terus memuncak.
Tambah beliau, Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi turut memberi jaminan untuk membantu Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan Rafah.
Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia antara negara yang lantang membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, meskipun tidak ramai negara tampil berbuat demikian.
“Sebagai negara merdeka dan berdaulat, kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa asing. Kita nyatakan pendirian tegas menolak serangan tersebut dan mempertahankan kedaulatan Iran,” ujarnya. – MYNEWSHUB


