KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti menempah tiket ke pentas akhir Piala Malaysia 2025/26 selepas membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City) 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kini berada di landasan terbaik untuk mara ke final, sekali gus memberikan tekanan hebat buat KL City menjelang perlawanan timbal balik nanti.
JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Bergson meledak gol seawal minit ke-5, sebelum Ager Aketxe menggandakan kelebihan pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua, dominasi pasukan pelawat terus terserlah apabila Óscar Arribas menambah gol ketiga pada minit ke-59, sebelum Aketxe sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-84 bagi melengkapkan kemenangan bergaya 4-0.
Dengan kelebihan agregat yang
selesa, JDT kini hanya selangkah lagi untuk ke final, manakala KL City berdepan misi hampir mustahil untuk bangkit pada aksi kedua jika mahu meneruskan kemaraan dalam saingan berprestij itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Johor Southern Tigers


