KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyokong tindakan tegas yang telah diambil terhadap pemandu kereta dipercayai memandu dibawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal di Klang, Selangor pada 29 Mac lalu.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan perbezaan tindakan undang-undang dalam satu lagi kes kemalangan maut di Batu Gajah, Perak pada Februari lalu yang mengorbankan tiga sekeluarga apabila pemandu kenderaan hanya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, kemalangan akibat pemandu sebuah kenderaan pacuan 4 roda dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah menyebabkan kematian S.R. Sarala Devi, 34, G. Sarasbathy Gopal, 65, dan S.Shaastikka berusia tiga tahun.
“Bawah Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
“Bawah Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan, kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Rayer berkata, Peguam Negara (AG) perlu tampil dengan satu penjelasan yang menyakinkan supaya rakyat tidak terkeliru dengan perbezaan tindakan undang-undang tersebut.
Kata beliau, jika Peguam Negara tidak memberi sebarang penjelasan yang menyakinkan berdasarkan undang-undang, terdapat risiko rakyat akan terus keliru dan tersalah faham. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial RSN Rayer


