KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan kaedaah pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) secara berperingkat bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Langkah itu diumumkan menerusi Surat Edaran yang memaklumkan pelaksanaan berkenaan sebagai strategi negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan krisis tenaga global.
Menurut pekeliling tersebut, pelaksanaan BDR adalah berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2 yang menetapkan dasar, syarat dan peraturan berkaitan.
SYARAT KHAS BDR
Pelaksanaan itu tertakluk kepada beberapa syarat khas, antaranya pegawai perlu memenuhi dua kriteria utama:
– Berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri
– Jarak perjalanan sehala dari rumah ke pejabat melebihi 8 kilometer
Dalam masa sama, beberapa sektor dikecualikan daripada pelaksanaan ini iaitu keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.
JADUAL BDR IKUT NEGERI
Bagi negeri yang hari kelepasan mingguannya pada Ahad, BDR ditetapkan pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari, manakala Isnin dan Jumaat tidak dibenarkan.
Sementara itu, bagi negeri yang cuti mingguannya pada Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR dilaksanakan pada Isnin hingga Rabu, manakala Ahad dan Khamis tidak dibenarkan.
KAEDAH PEMANTAUAN
Sepanjang tempoh BDR, pegawai hanya dibenarkan bekerja dari rumah yang berdaftar dalam sistem HRMIS.
Mereka juga diwajibkan menggunakan aplikasi SPOT-Me bagi merekod kehadiran melalui fungsi geolokasi, selain perlu mendaftar masuk setiap satu jam.
Ketua Jabatan pula bertanggungjawab memantau keberadaan pegawai serta memastikan sasaran kerja dan output ditetapkan serta disemak secara berkala.
Pelaksanaan BDR itu akan mula berkuat kuasa pada 15 April 2026. – MYNEWSHUB


