KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan imej palsu di media sosial yang mendakwa Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Menurut Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, perkara tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam.
“YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” kata Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sehubungan itu, laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih. – MYNEWSHUB


