Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memohon agar pemecatan keahliannya dibatalkan dan nombor keahlian asalnya diaktifkan semula sekali gus membuka laluan untuk beliau kembali berkhidmat dalam parti.
Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berharap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Rumah Bangsa akan mempertimbangkan hasratnya dengan sewajarnya.
Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak meletakkan sebarang syarat peribadi untuk kembali, sebaliknya hanya ingin diberi peluang untuk berkhidmat sebagai “anak kapal biasa” dalam bahtera perjuangan UMNO.
Dalam kenyataannya, beliau berjanji akan membantu mengukuhkan parti, sama ada ‘mengetatkan papan longgar, memalu paku yang perlu, atau memastikan palka kapal tertutup rapat’
“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi atas keterbukaan menerima kunjungan beliau semasa bulan Ramadan ini, yang membolehkan beliau kembali ke ‘rumah lama politiknya.
“Insya’Allah, I’m coming home,” kata Khairy Jamaluddin, menegaskan komitmennya untuk kembali aktif dalam parti. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Khairy Jamaluddin


