Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Khairuddin Takiri menyifatkan gagasan ‘Rumah Bangsa’ sebagai langkah strategik yang berjaya mengukuhkan semula parti.
Menurut beliau, pendekatan yang digerakkan oleh Presiden UMNO itu telah berjaya membawa pulang tokoh-tokoh pemimpin parti untuk kembali bersama memperkukuh perjuangan.
“Rumah Bangsa sebagai langkah strategi Presiden UMNO berjaya membawa pulang tokoh-tokoh pemimpin UMNO walau digelar sebagai rumah berhantu tanpa dinding oleh pesaing politik,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Tambah beliau, walaupun gagasan tersebut dipersendakan oleh pihak lawan politik, perkembangan semasa menunjukkan usaha berkenaan mula menampakkan hasil positif kepada parti.
Jelasnya lagi, kemasukan semula beberapa pemimpin berpengalaman memberi isyarat bahawa pendekatan penyatuan itu diterima oleh sebahagian besar ahli dan penyokong parti.
“Perpaduan parti asas kemenangan,” tegasnya sambil menekankan bahawa kekuatan serta kesatuan dalaman parti merupakan faktor penting untuk menghadapi cabaran politik dan meraih sokongan rakyat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ust Dr. Khairuddin at-Takiri


