Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Perikatan Nasional (PN) kini sudah menjadi PASiatan Nasional.
Beliau mendakwa, PN kini didominasi oleh PAS selepas riwayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN berjaya ditamatkan.
“Dengan perlantikan (kepimpinan PN) yang baru, maka tamatlah riwayat Bersatu dalam PN di tangan PAS. Perikatan Nasional kini sudah menjadi PASiatan Nasional.
“Nasib baik keangkuhan Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yasin) menolak seruan untuk bentuk Kerajaan Perpaduan.
“Allah takdirkan UMNO untuk bangkit kembali dari pengkhianatan PAS,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dalam masa sama, Lokman mengibaratkan Bersatu seperti ‘payung’ yang digunakan ketika hujan lebat, tetapi dilipat dan disimpan apabila keadaan kembali teduh.
Katanya, PAS yang mempunyai pengalaman panjang dalam politik tahu bagaimana untuk bertahan dan menguasai keadaan.
Beliau juga mengaitkan situasi itu dengan pengalaman UMNO ketika bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional.
PAS didakwa bermain dua kolam bersama Bersatu sehingga menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya tinggal sekitar 30 kerusi Parlimen. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lokman Noor Adam Official


