Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih terhadap sindiran yang dilemparkan ke atas beliau.
Menurutnya, memang benar dua pokok cili atau sepasu kangkung tidak akan menurunkan harga minyak dunia atau menstabilkan harga urea global, namun langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha membina daya tahan makanan negara.
“Memang benar, dua pokok cili tidak akan menurunkan harga minyak dunia. Sepasu kangkung tidak akan menstabilkan harga urea global. Itu saya pun tahu.
“Mungkin beliau terlepas pandang laporan berita tindakan KPKM yang sedang memantau dan telah mengambil langkah awal ekoran konflik geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global.
“Setakat pemantauan dibuat, saya memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara masih stabil dan mencukupi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau mengulas sindiran seorang pemimpin pembangkang yang mempersoalkan cadangannya agar rakyat menanam sayur sendiri bagi menangani isu keterjaminan makanan negara.
Mohamad berkata, beliau menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program Kebuniti dan Kebun Dapur Isi Rumah bukan kerana kerajaan tiada strategi.
Menurutnya, cadangan itu kerana keterjaminan makanan mesti dibina secara berlapis seperti Singapura yang melabur besar dalam ‘urban farming’ untuk tingkatkan pengeluaran tempatan.
“Lihat Jepun, negara maju dengan dasar makanan yang kukuh, namun tetap galakkan komuniti menanam dan menjaga pengeluaran domestik sebagai lapisan keselamatan.
“Adakah mereka tidak faham dasar makanan? Atau mereka amat faham bahawa budaya berdikari adalah sebahagian daripada strategi nasional?,” katanya.
Justeru, katanya, kalau ada yang melihat usaha kecil rakyat dan pegawai KPKM sebagai tidak signifikan, itu hak masing-masing.
“Bagi saya, yang tidak signifikan ialah memperlekehkan usaha membina daya tahan hanya kerana ia tidak berbentuk ‘popular’.
“Dan ya, kita akan terus galakkan rakyat menanam. Kerana dalam dunia yang tidak menentu, berdikari bukan slogan. Ia strategi,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohamad Sabu


