KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh hubungan strategik dengan pengamal media dalam usaha memastikan maklumat berkaitan percukaian dapat disampaikan kepada masyarakat secara tepat, konsisten dan bertanggungjawab.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Iftar dan Apresiasi Media 2026 yang berlangsung di The Westin Hotel, Kuala Lumpur, semalam.
Ia disertai hampir 120 pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk media cetak, penyiaran televisyen dan radio, portal berita dalam talian serta agensi kreatif dan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengamal media pada majlis berkenaan yang turut dihadiri barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengurusan kanan agensi itu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa media memainkan peranan penting sebagai jambatan antara HASiL dan masyarakat dalam memastikan mesej berkaitan tanggungjawab, hak serta manfaat pematuhan cukai dapat difahami dengan jelas oleh rakyat.
Menurutnya, laporan yang tepat dan konstruktif daripada media mampu membantu menangani kekeliruan serta mengekang penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan sistem percukaian negara.
“Sokongan padu media sepanjang tiga dekad ini telah menjadi pemangkin kepada peningkatan literasi cukai masyarakat serta membina keyakinan teguh terhadap sistem percukaian negara,” katanya.
Majlis tersebut juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan HASiL, yang disambut pada 1 Mac lalu, menandakan tiga dekad peranan institusi itu dalam mengurus dan memperkukuh sistem percukaian negara sejak ditubuhkan pada tahun 1996.
Sepanjang tempoh tersebut, hubungan erat antara HASiL dan pihak media dilihat memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem percukaian yang lebih telus serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mematuhi tanggungjawab cukai.
Dalam semangat Ramadan Al-Mubarak yang diraikan melalui majlis ini, HASiL berharap kerjasama erat bersama media akan terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan percukaian negara dapat dilakukan secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.-MYNEWSHUB


