Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Firdaus Wong Wai Hung memaklumkan beliau dihubungi oleh peguam kepada penuntut sebuah universiti yang menghadapi pertuduhan mencemar al-Quran.
Menurut beliau, peguam tersebut menjelaskan bahawa anak guamnya, S.Vikneswaran, 21, mengaku pernah berhubung dengan beliau, namun menafikan pernah memeluk Islam.
“Peguamnya ada berhubung dengan saya dan memaklumkan dia mengaku dia berhubung dengan saya, tetapi tidak mengaku dia memeluk Islam,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini
Mengulas dakwaan tular individu itu pernah mengaku beragama Kristian, Firdaus berkata beliau tidak dapat mengesahkan status sebenar agama lelaki berkenaan.
“Adakah dia murtad atau masih muslim kerana ada yang berkongsikan tangkap layar dia mengaku Kristian? Wallahualam. Allah lebih mengetahui. Saya kurang pasti,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa individu tersebut memang pernah menghubunginya secara peribadi dan meminta beliau menjadi saksi syahadah.
“Yang saya pasti adalah dia yang mesej saya dan mahu saya menyaksikan sekali lagi syahadahnya. Semua itu ada dalam perbualan WhatsApp antara kami,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan kononnya cuba mempertahankan individu terbabit.
“Adakah saya cuba whitewash? Tidak sama sekali. Prinsip saya konsisten. Sama ada muslim atau belum muslim harus bertanggungjawab di atas perbuatan,” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Firdaus Wong Wai Hung
Baca laporan awal : Lelaki Pijak Al Quran Didakwa Seorang Muallaf



