RANTAU PANJANG: Polis Kelantan mempertingkatkan kawalan di sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan berikutan paras air Sungai Golok semakin cetek menyebabkan lebih mudah menyeberangi sungai.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan paras air Sungai Golok.
Beliau berkata, sebelum ini beliau dimaklumkan kawasan yang cetek membabitkan di Tanah Merah sehingga ada penduduk mengambil kesempatan turun bermain.
“Namun kini kawasan Rantau Panjang juga ada yang cetek dan menampakkan beting pasir. Kita sentiasa memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa.
“Malah, kawalan di sempadan juga sentiasa dipertingkatkan bagi mengekang sebarang kegiatan penyeludupan atau rentas sempadan yang lebih mudah memandangkan keadaan air yang semakin cetek.
“Air cetek atau tidak kita sentiasa perketat kawalan, justeru jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan, cuaca panas menyebabkan paras air di beberapa sungai utama di Kelantan berada di bawah paras normal.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, antara sungai yang berada di paras normal adalah Sungai Golok di di Rantau Panjang iaitu dengan bacaan 3.56 meter (m) berbanding normal 5m.
Sungai lain yang berada di bawah paras normal adalah Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dengan bacaan 18.57m berbanding normal 19m, Empangan Bukit Kwong, Rantau Panjang (16.02m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (-0.4m, paras normal 1m).
BHonline-


