KUALA LUMPUR, 21 Feb 2026 – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa tidak menyiasat keputusan kerajaan berkaitan perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat, meskipun Mahkamah Agung negara itu memutuskan tarif yang diumumkan sebelum ini adalah tidak sah.
Menurut Rafizi, keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membatalkan tarif import yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump membuktikan bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian tarif dengan Washington.
“Mahkamah Agung AS mengumumkan bahawa tarif yang dikenakan oleh Presiden Trump ke atas import dari negara lain adalah tidak sah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial.
Susulan keputusan itu, Trump kemudiannya mengumumkan kadar tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import, jauh lebih rendah berbanding kadar 19 peratus yang didakwa telah dipersetujui Malaysia sebelum ini.
Rafizi menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia sebagai tergesa-gesa dan merugikan negara, malah mendakwa persetujuan tersebut dibuat bagi memenuhi agenda politik tertentu.
“Orang dah pesan jangan tergesa-gesa tandatangan perjanjian tarif dengan AS, lebih-lebih lagi kalau ia dipakejkan sebagai syarat kehadiran Trump ke Malaysia,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan usaha Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang sebelum ini cuba meyakinkan rakyat bahawa kadar tarif 19 peratus itu adalah hasil rundingan terbaik.
“Kini, negara-negara lain di Asia Tenggara tidak perlu bersetuju apa-apa, kedaulatan mereka tidak disentuh, dan mereka hanya dikenakan tarif 10 peratus. Kita pula hampir dua kali ganda,” katanya.
Dalam masa sama, Rafizi membidas SPRM yang sedang menyiasat beliau berhubung dakwaan mengetuai rundingan perjanjian dengan syarikat teknologi ARM secara tergesa-gesa sehingga merugikan negara.
“Gajah depan mata tidak nampak. Kalau nak siasat perjanjian yang dibuat tergesa-gesa dan merugikan negara, siasat PMX dan Zafrul dalam perjanjian tarif ini,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa situasi itu jelas menunjukkan Malaysia kini berada dalam kedudukan yang lebih merugikan berbanding negara serantau lain, hanya kerana keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa. –MYNEWSHUB


