JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Perling, di sini.
Menurut siaran media dikeluarkan oleh Polis Daerah Johor Bahru Utara, rakaman video berkenaan dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun “Komuniti Johor” dan memaparkan insiden seorang lelaki menampar lelaki lain yang menunggang motosikal di sebuah stesen minyak.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 11 Januari lalu, kira-kira jam 6.50 petang di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru.
Polis turut mengesahkan individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan telah dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan ketika kejadian berlaku, individu tersebut sedang bercuti.
Bagaimanapun, setakat ini pihak polis memaklumkan tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.
Walau demikian, mangsa yang terlibat telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan mangsa bagi membantu siasatan lanjut.
Pihak polis menegaskan bahawa sebarang dakwaan salah laku melibatkan pegawai dan anggota polis dipandang serius.
Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang telah ditetapkan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut dan diminta tampil menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan.
Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti.


